Sunday, 22 March 2015

TIPS UNTUK MUDAH BERSEDEKAH - ELAKKAN RASA MALU UNTUK BERSEDEKAH WALAUPUN SERINGGIT

 ELAKKAN RASA MALU UNTUK BERSEDEKAH WALAUPUN SERINGGIT

Anda sedang minum dengan rakan-rakan sepejabat, sedang mengisi masa rehat tengahari. Sedang anda asyik menjamu selera datang seorang buta bertongkat membawa tisu untuk dijual dan di sampingnya seorang perempuan yang menolong memimpin sang buta tadi.

Apakah reaksi anda ketika itu? Mengangkat tangan menandakan tidak mahu kepada mereka atau menyedekahkan sedikit wang daripada poket, lebihan daripada harga makanan anda tadi.

Datang pula seorang makcik tua yang membimbit beg plastik yang sarat dengan kerepek, menjual kerepek dengan hanya 3 jenis kerepek berharga RM 10. Kesian melihat makcik tua ke hulu dan ke hilir membimbit beg plastik itu demi mencari sesuap nasi.

Apakah reaksi anda ketika itu? Mengangkat tangan menandakan tidak mahu kerana semalam pun kerepeknya masih banyak di rumah.

Datang pula seorang anak muda menjual buku, kelendar tahun baru dan CD agama, harga RM 25 sahaja, anak muda itu memohon izin untuk memberi sedikit penerangan tentang barangannya.

Apakah reaksi anda ketika itu, mengangkat tangan menandakan tidak mahu. Kemudian mata kita menyorot anak muda itu tadi beralih ke meja yang lainnya.

Situasi ini sering berlaku kepada kita bukan? Apakah yang sering kita pandang dan lihat ketika kita berada di dalam kondisi sedemikian. Pada masa itu kita mesti melihat dengan mata hati. Hati kita sudah berkata kesian kepada orang buta, makcik dan anak muda itu. Mereka gigih mencari sesuap nasi dengan mengharapkan simpati manusia untuk membeli barangan mereka.

Adakalanya kita berpandangan serong dek kerana ramai yang mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup golongan ini terutama sang buta. Sehinggakan kita sendiri mengambil tindakan untuk tidak memberikan sedekah kepadanya kerana ini merupakan satu sindikit terancang seperti yang dibicarakan di televisyen.

TIPS UNTUK MUDAH BERSEDEKAH

Apakah sebenarnya tips untuk kita tidak berasa berat untuk menyedekahkan sedikit wang saku kita kepada golongan-golongan seperti ini?

1. Tanya hati kita? Hanya tuan-tuan sahaja yang mampu menjawab, jika anda mahu berikan anda terus berikan tanpa mengambil kira apa-apa risiko kerana lintasan hati untuk melakukan perkara baik itu adalah yang betul. Jika kemudianya datang rasa syak, itu adalah mainan syaitan.

2. Sediakan jadual untuk anda sedekahkan sedikit wang saku anda kepada mana-mana surau atau masjid setiap minggu. Pastikan setiap minggu anda dapat memberikan sedekah anda.

3. Percaya apabila anda meringankan beban orang lain, maka Allah akan meringankan beban anda seperti hadith nabi :-

Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu.
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)
Semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal di atas segala amalan baik kita. Jom bersedekah.

No comments:

Post a Comment