Sunday, 4 January 2015

Pengalaman Guru Hadapi Banjir di Kuala Krai

Pengalaman Guru Hadapi Banjir di Kuala Krai
Kuala Krai: “Situasi ketika itu sangat menakutkan apabila air naik mendadak. Saya yang tidak pernah berdepan dengan pengalaman seumpama itu terdesak dan tiba-tiba terfikir untuk menghantar mesej WhatsApp di dalam grup WhastApp sekolah.

“Tak sangka pula ia menjadi ‘viral’ hingga ke seluruh negara,” kata Roslinawati Mohd Nawi, 38. Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai itu individu pertama yang menceritakan pengalamannya sepanjang berada di Pusat Pemindahan Banjir di sekolah itu menerusi aplikasi WhatsApp sebelum dikongsi di laman sosial Facebook sehingga mencetus viral.

Menurutnya, ketika kejadian itu arus air banjir sangat kuat sehingga menyebabkan kawasan bangunan itu bergegar dihempas arus deras.

“Sampai satu tahap sekiranya keadaan menjadi serius kami nekad untuk mengikat tangan bersama keluarga masing-masing untuk mati bersama-sama.

“Ketika itu keadaan gelap dan kami hanya tawakal sekiranya pada hari itu kami ditakdirkan mati kami sudah reda. Namun dalam hati kami tetap berdoa supaya keajaiban akan berlaku,” katanya yang juga seorang daripada 300 mangsa terperangkap di pusat pemindahan banjir itu.

Menceritakan detik cemas itu, Roslinawati berkata, segala-galanya bermula pada Selasa 23 Disember apabila dia bersama suami Shuhairi Alang Mahat, 48, dan anaknya berusia dua tahun yang tinggal di asrama sekolah itu berpindah ke bangunan tiga tingkat bersebelahan berikutan hujan sangat lebat dan air mulai naik di kawasan berhampiran.

“Pada mulanya saya dimaklumkan penduduk banjir masih terkawal, jadi saya hanya tinggal di tingkat dua asrama itu.

“Bagaimanapun pada malam itu seorang pengawal keselamatan datang dan memaklumkan kami perlu berpindah kerana air naik dengan cepat.

“Tanpa berfikir panjang saya suami dan seorang anak meredah air sedalam 0.3 meter ke bangunan sekolah untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Metro Ahad.

Dia yang juga warden asrama itu berkata, ketika itu perasaan takut dalam dirinya masih belum timbul kerana menyangka air tidak akan naik tinggi.

“Rupa-rupanya sangkaan saya itu jauh meleset apabila melihat bumbung asrama setinggi dua tingkat itu ditenggelami air.

“Pada malam itu saya tidak boleh tidur kerana dentuman kuat arus menghentam bangunan sekolah selain mencecah tingkat dua,” katanya.

Menurut Roslinawati, ketika kejadian itu suasana hening dan semua orang mendiamkan diri.

“Ketika itu seolah-olah sudah pasrah dan sekiranya air naik lagi kami sudah merancang langkah yang perlu diambil seperti naik atas meja dan berpaut pada kipas sebelum dihanyutkan arus.

“Saya ingatkan saya saja berfikir perkara itu, apabila kami berbual sesama sendiri ramai turut berfikir perkara sama.

“Hampir dua hari keadaan itu kami hadapi sebelum paras air turun dengan cepat,” katanya memberitahu penduduk terpaksa ke tingkat tiga bagi menyelamatkan diri.

Katanya, mereka juga berdepan dengan masalah bekalan makanan yang semakin habis.

“Kami hampir terputus bekalan makanan sehingga ada ibu bapa yang sanggup berenang mendapatkan makanan yang hanyut.

“Alhamdulillah, selepas itu bantuan tiba tiga hari kemudian yang dihantar melalui udara dan kami diberi lapan tin biskut dan selepas itu bantuan tiba hampir setiap hari,” katanya.

Katanya, menjelang hari kelima air mulai surut dan mereka sudah boleh keluar walaupun air pada paras betis.

“Saya tidak akan lupakan pengalaman itu dan berharap ini yang pertama dan terakhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment