Saturday 7 March 2015

Menentukan Arah Kiblat dengan Bantuan Matahari

Menentukan Arah Kiblat dengan Bantuan Matahari 

Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat. Jadi ummat Islam perlu memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Kaabah, di Makkah al-Mukaramah.
Alhamdulillah dengan ketentuan Allah ‘Azza wa Jalla, setiap tahun terdapat 2 waktu kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Kaabah. Fenomena ini membolehkan ummat Islam di seluruh dunia sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menentukan arah qiblat dengan mudah dan tepat. Subhanallah…

Penggunaan teknik bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa itu bersamaan dengan matahari berada tepat di langit latitud Kaabah. Sekiranya semua orang yang dapat melihat matahari dan menghadapkan wajahnya ke sana pada ketika itu, bermakna dia sedang menghadapkan wajahnya ke kiblat. Atau jika kita melihat bayangan sesuatu objek yang tegak lurus di atas tanah yang tak terlindung, maka bayangan tersebut akan membentuk garis arah ke kiblat.


Matahari Istiwa’ Atas Kaabah

Fenomena Matahari Istiwa’ di atas Kaabah yang dipanggil ‘Istiwa A’zam’ (Persinggahan Utama) ini akan menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah (90 °) di seluruh dunia dan hanya berlaku dua kali setahun.
Sekiranya pada ketika itu sedang berada di Masjidil Haram, seseorang itu berpeluang melihat Kaabah serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah tidak ada bayang-bayang.

Di tempat-tempat lain, jika memandang ke arah matahari (pada waktu itu), bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah qiblat. Istiwa’ matahari di atas Kaabah bersamaan dengan arah qiblat dan ini boleh dilihat pada 27/28 Mei dan 15/16 Julai ketika menghampiri waktu Zuhur di Mekah.
Peluang keemasan ini tidak wajar dilepaskan kerana umat Islam di seluruh negara berpeluang menyemak arah qiblat menggunakan teknik bayang matahari pada pukul 5.28 petang, Ahad ini (15.7.2012).

Bilakah Masanya Istiwa A’zam Berlaku?

Fenomena Matahari Istiwa’ (rembang/tegak) di atas kaabah berlaku dua kali dalam setahun iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah utara dalam bulan Mei dan ketika matahari kembali ke ekuinoks dalam bulan Julai.

Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:
•   28 Mei (atau 27 Mei di tahun lompat) pukul 5.16 petang, dan
•   16 Julai (atau 15 Julai di tahun lompat) jam 5.28 petang.

Memandangkan 2012 merupakan tahun lompat, maka tarikh akan berganjak lebih awal awal iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai.
Mengikut pengiraan, pada 27 Mei, waktu di Mekah adalah 12.18 tengah hari dan di Malaysia ialah 5.18 petang dan pada 15 Julai pula, Istiwa’ Matahari di atas Kaabah tepat pukul 12.27 tengah hari waktu Mekah yang bersamaan pukul 5.27 petang waktu Malaysia.


Panduan Menentukan Arah Qiblat

Menentukan arah qiblat dengan tepat perlu melalui beberapa aktivit dan proses yang mudah dengan hanya menggunakan sebatang kayu dan sedikit pemerhatian.

Berikut adalah panduan menentukan arah qiblat dari sesuatu tempat pada tarikh dan masa yang telah ditentukan seperti masa dan tarikh dinyatakan di atas:-

Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang tepat. Justeru, pastikan jam yang dibuat rujukan itu betul mengikuti waktu piawai tepat yang boleh disemak dengan SIRIM atau merujuk kepada waktu di televisyen atau radio.
Pada waktu tersebut, keluar ke kawasan lapang dan pilih tempat yang boleh kelihatan kedudukan dan sinaran terus matahari (tanpa terlindung oleh sebarang objek lain).
Pacakkan suatu objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen pada kawasan yang hendak disemak arah kiblatnya.
Pastikan tiang berkenaan lurus dan tegak secara bersudut tepat 90 ° di atas permukaan yang rata.
Bagi memastikan ketegakannya boleh diletak sebarang pemberat yang diikat pada hujung tiang tersebut.
Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut boleh dilihat dengan terang dan jelas.
Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu.  Oleh kerana matahari berada di langit barat, bayang-bayang akan jatuh ke arah timur.
Di Malaysia, arah qiblat ialah bayang-bayang yang menghala ke barat.

Menentukan arah qiblat dengan tepat seperti di atas adalah mudah dan tidak sesukar mana, tidak perlu alat canggih. Dengan berbekal sinaran matahari, kita boleh meyakini ketepatan teknik bayang matahari dalam menentukan arah qiblat. Bahkan cara ini boleh menjadi lebih teliti dan tepat jika dibandingkan dengan penggunaan teknik kompas.

Terpesong

Kompas sangat mudah terpengaruh dengan sumber medan magnet yang berdekatan seperti besi, aliran elektrik dan lain-lain barangan di sekitarnya. Jika kita tidak berhati-hati penunjuknya akan mudah terpesong akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.

Tahukah anda, jika perselisihan arah qiblat sebanyak 1 darjat sahaja boleh melencongkan arah kira-kira 100 km dari titik Kaabah. Semakin besar lencongan arah ini akan menjadikan kita semakin jauh terpesong dari halauan Kaabah.

Oleh kerana itu objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun.


Menyakinkan

Maka sangat dianjurkan untuk mendapatkan setepat mungkin kedudukan arah qiblat ini, dan ianya adalah baik bagi masjid serta surau atau pun bagi memastikan ketepatan arah qiblat solat kita ketika  di rumah atau pejabat.
Mudah-mudahan perkongsian ini dapat memberi faedah kepada yang mahu mengambil manfaat. Bersyukurlah kepada Allah SWT yang telah memberikan peluang untuk kita menyemak arah qiblat yang tepat melalui kaedah ini. Hadapkanlah tubuh ke arah qiblat tersebut dengan penuh yakin dan khusyuk ketika solat dan ibadah lain.


والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam bishowab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment