KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.
Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.
Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).
Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.
Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.
Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.
Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.
Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.
Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”
Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.
Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.
Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.
Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:
“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.
“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.
“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”
Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.
Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.
Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.
Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.
Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.
Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.
Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.
Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.
Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.
Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.
Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.
Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.
Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.
Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang
makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”
Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.
Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.
Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”
Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:
“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”
Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.
Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:
“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”
Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!
Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”
No comments:
Post a Comment